Tuesday 27 August 2013

Sampai Bila




"....seni muzik adalah sesuatu yang suci dan ianya tidak berkepentingan. Sebab itu jika kita bernyanyi atau bermuzik yang lahir dari hati, kesannya akan hinggap melekat ke telinga pendengar sehingga menyentuh jiwa..."


Di sini, di negara kita ini, seni muzik selalunya kita lihat apa yang indah di luar dan juga dalamnya. Di sini juga jika kita mahu menjadi seorang pemuzik yang serius, wajibnya untuk visi dan mimpi yang gemilang, keluarga atau mungkin diri kita sendiri akan menggalakkan dengan sungguh-sungguh supaya kita mengambil jurusan muzik di mana-mana institusi pengajian tinggi yang bertauliah ataupun dari mana-mana pengajian tinggi swasta.

Itu kita kata mengikut arus formaliti juga mentaliti masyarakat kita sejak seni muzik yang telah wujud dan berkembang di negara kita sejak era 50an sehinggalah ke hari ini. Pada pengamatan aku suatu masa dahulu, ramai ibu-bapa terutamanya di kalangan masyarakat Cina menghantar anak mereka se-usia 5 tahun lagi untuk belajar muzik yang mana itulah rutin yang mereka akan lalui sejak kecil sehinggalah dewasa bilamana sampai waktunya tiba mereka akan menjadi tenaga pengajar di situ dan mampu menjana pendapatan yang lumayan.

Itu kita kata pandangan yang konvensional dan aku bersetuju juga kerana aku juga tidak akan menggalakkan anak-anak aku suatu hari nanti mengikut jejak langkah aku untuk menjadi pemuzik yang tidak bertauliah hanya bersandar pada pengalaman dan semangat semata.

Ceritanya sama sahaja. Semua kita ingin menjadi bagus dalam apa yang kita cita-citakan cuma cara yang tidak konvensional itu biasanya penuh dengan liku-liku dan penuh mencabar. Jadi eloklah kita galakkan mereka ikut saluran yang sudah disediakan, sekurang-kurangnya untuk satu tempoh. Aku katakan untuk satu tempoh kerana hidup ini hanyalah sekadar sebuah perjalanan dan tidak ada penghujungnya sehinggalah kita mati.

Seni muzik adalah sesuatu yang suci dan ianya tidak berkepentingan. Sebab itu jika kita bernyanyi atau bermuzik yang lahir dari hati, kesannya akan hinggap melekat ke telinga pendengar sehingga menyentuh jiwa. Maka apabila seni muzik itu dihias pula dengan elemen hiburan yang berlebihan, maka inilah yang kita lihat hari ini fenomena anak-anak muda yang gilakan hiburan dan hidup glamour hanya menjadikan subjek muzik itu adalah sekadar muzik, yang paling mereka kejar adalah kenikmatan melayani keindahan perasaan yang semu semata.

Maka itu tidak hairanlah hari ini majoriti para ibu-bapa kebanyakannya akan berasa bangga jika anak mereka menyertai program realiti mencari bintang mahu pun program-program lain yang bersepah di kaca televisyen yang boleh kita tonton pagi, petang, siang dan malam. Jika dahulu seperti kita tonton filem “Ibu Mertuaku” arahan legenda kita Allahyarham P. Ramlee pada era 50an dulu, betapa hinanya pandangan masyarakat waktu itu jika memilih kerjaya menjadi pemuzik dan penyanyi, hari ini kita dapat lihat betapa bersusah payahnya para ibu-bapa yang sanggup bergolok bergadai semata-mata mahu anak mereka mencapai cita-cita untuk menjadi penyanyi.

Itu kita kata kesan dari pengaruh yang kita tonton di media audio mahupun visual. Apabila sesuatu produk itu diniagakan ianya bukan lagi bersandarkan bakat melainkan bermotifkan keuntungan semata. Segalanya diniagakan termasuklah rupa, gaya, pesona dan sebagainya.Hakikatnya hanya yang berkualiti mampu kekal lama dalam industri muzik yang penuh dengan mimpi-mimpi plastik ini, manakala yang kandas hanya menjadi pelengkap untuk sebuah skrip keindahan yang dicipta untuk diraikan semeriahnya.

Kesannya yang dapat kita tatap hari ini hala dan tuju seni muzik itu tidaklah berkembang dan seimbang. Ini kerana perjalanan untuk ke situ hanya satu hala. Apa yang dihidang apa yang dicadang itulah syaratnya. Maka sifat untuk visi itu hanyalah ke arah satu sisi sahaja, tidak variasi. Jika kita ingin penjadi pemuzik atau penyanyi selain dari berkonsepkan pop dan komersial, besar kemungkinan album kita akan gagal dan kita hanya akan mengakhiri karier kita dengan menjadi pemuzik di hotel atau pub sahajalah.

Maknanya juga jika kita ini ingin menjadi penyanyi, kita wajib menyertai program realiti hiburan yang telah disediakan untuk kita mencuba nasib di situ. Di sini juga tidak ada tempat untuk sesiapa yang bercita-cita menjadi Bob Dylan, Iwan Fals, Nick Drake, Cat Stevens, Salif Keita dan penyanyi-penyanyi singer-songwritter yang kita kata bijak kerana mereka mereka bukan sahaja bernyanyi tapi ada cerita dan mesej yang bagus dalam setiap lagu yang mereka rakam dan suarakan. Bertambah malang jika fizikal dan rupa kita ini punya kekurangan.

Maka tidak hairanlah juga di sini jika kita ingin mendengar lagu ketuhanan, pilihannya adalah penyanyi-penyanyi atau kumpulan nasyid yang nampak Islamik, jika kita ingin mendengar lagu patriotik kita akan mendengar atau menonton mereka di arus televisyen perdana di mana kita akan disajikan dengan lagu-lagu yang penuh dengan puja-puji yang berlebihan yang mana tahap ikhlasnya pun boleh kita ragukan. Walaupun sudah dinyatakan kulit itu hanyalah sekadar perhiasan semata, kerana isi itu lebih berharga dan akan kekal lama, itu sering kita tidak indahkan kerana faktor waktu dan ketika itu lebih berharga dari apa yang ada di dalam.

Aku salah seorang peminat kumpulan legenda yang aktif di Malaysia pada suatu ketika iaitu Kopratasa. Di dalam lagu-lagunya penuh dengan unsur-unsur patriotik. Kita boleh rasa dia melahirkan suara melalui lirik-liriknya yang jujur dengan penuh dengan nilai telus dan semangat. Mereka menyuarakan pendapatnya dalam gayanya yang tersendiri, berseluar jeans rugged dan baju lusuh. Pun lagu-lagunya masih didengar sehinggalah ke hari ini. Aku percaya pada nilai telus apa yang mahu disampaikan dari imej yang dibuat-buat. Bagi aku kita bukan lagi budak sekolah yang perlu beruniform dan nampak kemas untuk ke sekolah. Seni muzik sepatutnya bebas dari unsur-unsur plastik yang dicipta kerana jika kita ini hidup hanya sekadar untuk hidup tanpa meraikan bahkan memahami apa yang tersurat dan tersirat, lebih baik kita ini di programkan sahaja untuk menjadi begitu atau begini.

Membudayakan seni itu perlu telus dan bebas sifatnya. Kongkongan hanya akan melemahkan nilai kreativit dan mentaliti sesuatu bangsa. Hari ini bukan lah seperti kita tinggal di era 70an dan 80an lagi. Hari ini kemahuan masyarakat itu semakin tinggi dan penuh dengan nilai-nilai yang bijaksana. Maka kita perlulah seiring dengan level dan kehendak umat di zaman ini.

Tuesday 13 August 2013

INTERVIEW - NERVEDELESS

"....Grunge dalam Nervedeless, pada kami ianya terletak pada sound kami yang agak kotor dan berat. Bagi kami ketidaksempurnaan itu lah yang membuatkan kami lebih suka dengan sound yang dipanggil "Grunge"


Salam, hai apa khabar kawan-kawan dan Nervedeless?
- Salam…Hai SELIPARMALAYA. Alhamdulillah, kami sihat walafiat di sini.
Terima kasih kerana sudi interview Nervedeless.

Apa perkembangan terbaru Neverdeless pada 2012 ni dan sejak bila band ni terlibat dalam dunia bawahtanah?
- Kami start berkecimpung di dalam arena ni sejak Oktober 2002, maka, Oktober 2012 ini adalah ulangtahun ke 10 kami sebagai sebuah band. Maka untuk tu, kami baru saja me’release’kan sebuah EP bertajuk "WarmUp Session". 

Kenapa UG bagi anda semua dan kenapa tak terus saja masuk ke arena mainstream?
- Definisi underground untuk kami, bermain bawah tanah tanpa ke permukaan
untuk tunjukkan muzik kita secara umum melalui radio atau televisyen, sebenarnya
lagu Nervedeless pernah beberapa kali keluar radio, tapi takda la kerap sangat.
kenapa kami stay dalam kelompok underground? sebab lagu kami lebih diterima
disini, dan media mainstream tak pandang sangat kot band macam kami ni?

Apa maksud tersirat disebalik nama Nervedeless ni, dari sisi lain yang orang tak tahu?
- Sebelum ni (Nervedeless), nama band kami "Dead Bloom". Sempat jugalah pakai nama tu untuk satu gig je. Nama Nervedeless ni spontan, takda maksud yang tersirat sangat pon. Kami tak suka nama yang bermaksud sebab kami memang tak bermaksud haha.

Sejak berkecimpung dalam dekat yang lama, 10 tahun kot kan, apa kepuasan yang anda semua dapat dan matlamat utama dalam mencari visi dan misi korang ni?
- Nervedeless ditubuhkan based on "pure fun". kami main muzik untuk kepuasan diri sendiri, jadi kami main/tulis lagu mengikut citarasa kami sendiri. Visi dan Misi kami adalah untuk terus memuaskan hati kami dan kemudiannya baru lah mencari telinga pendengar untuk lagu-lagu kami, kalau orang lain suka lagu kami, itu adalah bonus, Setakat ni Alhamdullillah. Kami juga bercadang nak record seberapa banyak lagu dan insyallah kalau ada rezeki boleh la kami siapkan 1st album, Dalam sepanjang 10 tahun Nervedeless hidup ni, kami tak pernah ada album langsung.

Bagaimana dengan pencapaian korang setakat ni, kiranya dalam tempoh tertentu membawa Nervedeless ketahap yang terbaik?
- Kami tak rasa kami bagus mana pun. Sebab sampai sekarang kami masih belajar, belajar dan terus belajar hingga kami rasakan kami dah tak mampu nak belajar, hahaha…untuk itu kami lebih focus kepada memperbaiki kesilapan lama kami dari segi recoding, mahupun live performance. Insyallah, kalau dulu rata-rata ahli Nervedeless masih belajar, sekarang ni bolehlah dikatakan masing-masing dah ada pendapatan tetap. Jadi bolehla kami record lagu dengan lebih banyak dan mungkin album? kalau ada rezeki.

OK..apa itu grunge dalam Nervedeless dan anda semua rasa GRUNGE dengan Nervedeless macam mana? 
- Grunge dalam Nervedeless, pada kami ianya terletak pada sound kami yang agak kotor dan berat. Kami rasa sesuai, sebab kami memang sukakan sound sebegini, tidak terlalu bersih. Tak rasa macam menipu atau terlalu digital. Bagi kami ketidaksempurnaan itu lah yang membuatkan kami lebih suka dengan sound yang dipanggil "Grunge".

Grunge dengan Kurt Cobain @ grunge dengan NIRVANA tak dapat dipisahkan, adakah ayat ni masih relevant masa ni?hahaha… 
- Haha, rasanya masih relevan? sebab umumnya kalau kita cakap grunge kat sesiapa pun, mesti imej Kurt Cobain atau Nirvana yang akan 1st sekali terlintas kat kepala diorang. 

Mengenai konsep dalam muzik Nervedeless dan bagaimana dengan penulisan lagu-lagu korang pula?
- Ok. Sebenarnya, kami lebih suka meletakkan muzik kami kepada ‘post grunge’ dalam penulisan lagu-lagu kami, antara yang banyak mempegaruhi penulisan kami adalah Silverchair dan Local H. Sebab bagi kami, melodi yang diorang buat cukup bagus dan dilapik diatas muzik yang berat.

Bagi Nervedeless, bagaimana korang melihat revolusi dalam pemilihan sound muzik grunge dulu berbanding sekarang?
- Macam yang kami jawab sebelum ni, sound 90's lebih raw, kotor dan sewaktu dengannya, sound moden lebih digital. Tapi selera masing-masing, tak boleh salahkan mereka yang sukakan sound yang lebih bersih.

Pada yang nak jadi True Grungers, apa nasihat korang pada mereka-mereka ni?
- Nak jadi grungers yang lebih true dan best, lagi best kalau korang turun sekali gig, beli local act punya stuff dan support band-band local. Sekurang-kurangnya ianya dapatlah bergerak dan meriah lagi scene Grunge kat Malaysia ni. 

Setakat ni sudah berapa banyak lagu-lagu yang korang hasilkan dalam tempoh 10 tahun ni?
- Rasanya 20 lagu macam tu kot. Setakat ni kami telah mengeluarkan 2 demo dan 2 ep dan kami juga ada menyumbangkan beberapa lagu untuk kompilasi.

Diskografi ringkas Nervedeless seperti berikut:

2003 - Nervedeless - ‘Nervegass’                               - Demo
2004 - Nervedeless - ‘So It Begins’                             - Demo
2004 - Suara Anak Muda                                            - Compilation
2006 - A Line From The Journey                                 - Compilation
2007 - South East Asia Grunge                                    - Compilation
2008 - Fatthulistiwa Soundscape                                  - Compilation
2008 - Nervedeless/Peoplenoid- Ocean Wall               - Split EP
2012 - Nervedeless – ‘Warm up Session’                    - EP
            Celebration 10th Year Anniversary


"...kami lebih suka meletakkan muzik kami kepada ‘post grunge’ dalam penulisan lagu-lagu kami, antara yang banyak mempegaruhi penulisan kami adalah Silverchair dan Local H. Sebab bagi kami, melodi yang diorang buat cukup bagus dan dilapik diatas muzik yang berat...."

Dari segi penerimaan lagu-lagu korang bagaimana? 
- Alhamdullillah, setakat ni kami rasa memberangsangkan. Ada yang suka dan ada yang tak suka. Biasalah, nak puaskan selera semua orang memangla takkan dapat.  

Apa yang jadi keutamaan dalam lagu-lagu Nervedeless, lirik atau melodi? 
- 2-2 menjadi keutamaan kami, lirik yang kosong tak bermaksud,macam membuatkan sebuah lagu tu jadi macam takda misteri untuk di explore, tanpa melodi yang bagus, sapa nak dengar lagu dan seterusnya baca lirikkan? 

Pendapat korang mengenai isu Posers dan Trendy dalam scene bawahtanah? 
- Komen kami pasal trendy atau posers, tak dapat kami nak buat apa-apa. Sebab itu atas selera dan kehendak masing-masing. Tak boleh nak paksa diorang untuk suka apa yang diorang sebenarnya tak suka. Cuma kalau dah berpindah arah, jangan la lupakan kami disini.

Apa yang korang dapat lihat dalam perkembangan scene bawahtanah sekarang ni?
- Memang lain, kalau dulu scene UG kita banyak bergerak tanpa bantuan internet, gig disebar melalui flyers dari tangan ke tangan, lebih susah tapi meriah. Sekarang zaman internet, band boleh expose sendiri melalui banyak rangkaian. Sekarang meriah, tapi rasanya 5 tahun dan 10 tahun lepas lagi meriah. 

OK. Terima kasih banyak diatas segala jawapan yang korang bagi tu, dan ada pesanan kepada meraka yang terbaca sesi ringkas interview ni? 
- Kami lagi sekali nak mengucapkan ribuan terima kasih kepada SELIPARMALAYA zine kerana sudi interview kami. Maafkan kami kalau ada jawapan kami yang membuatkan korang rasa tak berpuas hati.  Sesungguhnya kami hanyalah insan yang tidak lari dari melakukan kesilapan. Kalian bolehlah hubungi kami di alamat www.facebook.com/nervedeless atau juga ke nervedss@yahoo.com
Last dari kami Nervedeless belilah EP terbaru kami "Warm Up Session"yang telah berada di pasaran sekarang.


 "...kalau dulu scene UG kita banyak bergerak tanpa bantuan internet, gig disebar melalui flyers dari tangan ke tangan, lebih susah tapi meriah. Sekarang zaman internet, band boleh expose sendiri melalui banyak rangkaian...."

Friday 2 August 2013

Selamat Hari Raya

"...selamat menyambut hari raya yang bakal tiba...yang bakal pulang ke kampung halaman dengan memandu, berhati-hati di jalan raya....maaf dari kami jika terkasar bahasa, tersalah budi bicara, kita kawan tak mahu lawan, bersatu teguh bercerai roboh...."