Tuesday 17 December 2013

Kesan Dan Masih Terkesan


"...muzik perlu dilihat sebagai cermin untuk proses penjiwaan yang sarat dan bernas. Tidak menjadi masalah jika mahu memainkan muzik apa pun, tetapi jangan malas. Jangan malas mengaji, jangan malas meneroka daerah-daerah baru...."

Selepas beberapa ketika – tahun sebetulnya – khalayak muzik Malaysia masih lagi terperangkap dengan permainan yang tidak difahami.


Kegagalan kita untuk mengeluarkan diri dari hambatan trauma muzik luar yang berlonggok di sini harus diseluti dengan pengamatan yang matang.

Aku mengutarakan hal ini (lagi) – walaupun isu lapuk – adalah kerana belum ada tawaran penyelesaian yang kelihatan. Tidak perlu lagi menyalak tentang peranan radio, sikap masyarakat dan apa saja alasan sebelum ini. Kini masa untuk berfikir. Penggiat muzik, penyanyi serta pemuzik itu sendiri perlu proaktif. Bukan lagi menjadi gergasi mandom yang hanya duduk dan berdehem dengan maksud mahu menggegarkan gema gua.

Malaysia, walaupun mempunyai ramai penyanyi dan pemuzik yang bagus, tetap tenggelam dengan kebodohan sendiri. Kita tidak menawarkan sesuatu yang benar-benar menyanggah pandangan sinis pihak lain, termasuk masyarakat sendiri untuk menerima dengan lapang dada muzik yang kita ada.

Ini semua di atas diri penglibat industri muzik itu sendiri, bukan orang lain.

Satu perkara yang aku terkesan dan mahu dilontar di sini adalah kenyataan ini; "hasilan muzik dari Malaysia pada dasarnya tidak mempunyai isi atau substance yang betul-betul kuat. Ini bukanlah sweeping statement secara total, tetapi lebih kepada gambaran realiti yang ada..."

‘Substance’ yang dimaksudkan di sini adalah ‘pengalaman, perih-jerih, suka gembira, lintang-pukang’ atau apa saja naluri yang akhirnya menyentuh secara langsung halwa pendengar. Muzik sebenarnya bukan muzik. Muzik hadir dengan satu lenggok kuasa intimasi antara sang penyampai dengan pendengar. Perkongsian rasa.  Perhubungan langsung atau masalah yang berpijak pada persekitaran yang menginspirasikan muzik tersebut. Soal komersil itu hal lain.

Penulisan muzik pada kasarnya di sini ada terkandung sifat-sifat yang dinyatakan tadi. Tetapi tidak dapat dihalusi dengan penuh mesra oleh individu-individunya (penggiat) kerana satu faktor yang harus diakui semua – kemampuan intelektual yang terlalu rendah.

Muzik perlu dilihat sebagai cermin untuk proses penjiwaan yang sarat dan bernas. Tidak menjadi masalah jika mahu memainkan muzik apa pun, tetapi jangan malas. Jangan malas mengaji, jangan malas meneroka daerah-daerah baru.

Proses penghasilan seni sebenarnya terpengaruh secara langsung dengan pengalaman manusia melalui setiap zamannya. Jika muzik sekadar untuk berhibur dan untuk hal yang ‘ringan-ringan’, bersedialah untuk menggali kubur sendiri.

Substance ini tadilah yang sepatutnya ditelitikan dan diteladani untuk mengukur kualiti halus sesuatu muzik. Teknologi rakaman, canggihnya peralatan, efek, gitar dan sebagainya hanyalah ‘adding values’ yang jika menurut pandangan aku, tidak banyak membantu pun untuk menentukan darjat mana-mana muzik.

Aku marah dengan situasi tanah berdaulat ini menjadi tempat pembuangan sisa-sisa muzik dari luar, kerana yang masuk ke sini bukan semuanya / tidak banyak yang betul-betul bagus. Di sebabkan sikap dan daya fikiran kita yang sudah sebati sebagai golongan konsumer juga, kita tidak lagi dapat membuat pertimbangan yang adil.

No comments: