Tuesday 27 August 2013

Sampai Bila




"....seni muzik adalah sesuatu yang suci dan ianya tidak berkepentingan. Sebab itu jika kita bernyanyi atau bermuzik yang lahir dari hati, kesannya akan hinggap melekat ke telinga pendengar sehingga menyentuh jiwa..."


Di sini, di negara kita ini, seni muzik selalunya kita lihat apa yang indah di luar dan juga dalamnya. Di sini juga jika kita mahu menjadi seorang pemuzik yang serius, wajibnya untuk visi dan mimpi yang gemilang, keluarga atau mungkin diri kita sendiri akan menggalakkan dengan sungguh-sungguh supaya kita mengambil jurusan muzik di mana-mana institusi pengajian tinggi yang bertauliah ataupun dari mana-mana pengajian tinggi swasta.

Itu kita kata mengikut arus formaliti juga mentaliti masyarakat kita sejak seni muzik yang telah wujud dan berkembang di negara kita sejak era 50an sehinggalah ke hari ini. Pada pengamatan aku suatu masa dahulu, ramai ibu-bapa terutamanya di kalangan masyarakat Cina menghantar anak mereka se-usia 5 tahun lagi untuk belajar muzik yang mana itulah rutin yang mereka akan lalui sejak kecil sehinggalah dewasa bilamana sampai waktunya tiba mereka akan menjadi tenaga pengajar di situ dan mampu menjana pendapatan yang lumayan.

Itu kita kata pandangan yang konvensional dan aku bersetuju juga kerana aku juga tidak akan menggalakkan anak-anak aku suatu hari nanti mengikut jejak langkah aku untuk menjadi pemuzik yang tidak bertauliah hanya bersandar pada pengalaman dan semangat semata.

Ceritanya sama sahaja. Semua kita ingin menjadi bagus dalam apa yang kita cita-citakan cuma cara yang tidak konvensional itu biasanya penuh dengan liku-liku dan penuh mencabar. Jadi eloklah kita galakkan mereka ikut saluran yang sudah disediakan, sekurang-kurangnya untuk satu tempoh. Aku katakan untuk satu tempoh kerana hidup ini hanyalah sekadar sebuah perjalanan dan tidak ada penghujungnya sehinggalah kita mati.

Seni muzik adalah sesuatu yang suci dan ianya tidak berkepentingan. Sebab itu jika kita bernyanyi atau bermuzik yang lahir dari hati, kesannya akan hinggap melekat ke telinga pendengar sehingga menyentuh jiwa. Maka apabila seni muzik itu dihias pula dengan elemen hiburan yang berlebihan, maka inilah yang kita lihat hari ini fenomena anak-anak muda yang gilakan hiburan dan hidup glamour hanya menjadikan subjek muzik itu adalah sekadar muzik, yang paling mereka kejar adalah kenikmatan melayani keindahan perasaan yang semu semata.

Maka itu tidak hairanlah hari ini majoriti para ibu-bapa kebanyakannya akan berasa bangga jika anak mereka menyertai program realiti mencari bintang mahu pun program-program lain yang bersepah di kaca televisyen yang boleh kita tonton pagi, petang, siang dan malam. Jika dahulu seperti kita tonton filem “Ibu Mertuaku” arahan legenda kita Allahyarham P. Ramlee pada era 50an dulu, betapa hinanya pandangan masyarakat waktu itu jika memilih kerjaya menjadi pemuzik dan penyanyi, hari ini kita dapat lihat betapa bersusah payahnya para ibu-bapa yang sanggup bergolok bergadai semata-mata mahu anak mereka mencapai cita-cita untuk menjadi penyanyi.

Itu kita kata kesan dari pengaruh yang kita tonton di media audio mahupun visual. Apabila sesuatu produk itu diniagakan ianya bukan lagi bersandarkan bakat melainkan bermotifkan keuntungan semata. Segalanya diniagakan termasuklah rupa, gaya, pesona dan sebagainya.Hakikatnya hanya yang berkualiti mampu kekal lama dalam industri muzik yang penuh dengan mimpi-mimpi plastik ini, manakala yang kandas hanya menjadi pelengkap untuk sebuah skrip keindahan yang dicipta untuk diraikan semeriahnya.

Kesannya yang dapat kita tatap hari ini hala dan tuju seni muzik itu tidaklah berkembang dan seimbang. Ini kerana perjalanan untuk ke situ hanya satu hala. Apa yang dihidang apa yang dicadang itulah syaratnya. Maka sifat untuk visi itu hanyalah ke arah satu sisi sahaja, tidak variasi. Jika kita ingin penjadi pemuzik atau penyanyi selain dari berkonsepkan pop dan komersial, besar kemungkinan album kita akan gagal dan kita hanya akan mengakhiri karier kita dengan menjadi pemuzik di hotel atau pub sahajalah.

Maknanya juga jika kita ini ingin menjadi penyanyi, kita wajib menyertai program realiti hiburan yang telah disediakan untuk kita mencuba nasib di situ. Di sini juga tidak ada tempat untuk sesiapa yang bercita-cita menjadi Bob Dylan, Iwan Fals, Nick Drake, Cat Stevens, Salif Keita dan penyanyi-penyanyi singer-songwritter yang kita kata bijak kerana mereka mereka bukan sahaja bernyanyi tapi ada cerita dan mesej yang bagus dalam setiap lagu yang mereka rakam dan suarakan. Bertambah malang jika fizikal dan rupa kita ini punya kekurangan.

Maka tidak hairanlah juga di sini jika kita ingin mendengar lagu ketuhanan, pilihannya adalah penyanyi-penyanyi atau kumpulan nasyid yang nampak Islamik, jika kita ingin mendengar lagu patriotik kita akan mendengar atau menonton mereka di arus televisyen perdana di mana kita akan disajikan dengan lagu-lagu yang penuh dengan puja-puji yang berlebihan yang mana tahap ikhlasnya pun boleh kita ragukan. Walaupun sudah dinyatakan kulit itu hanyalah sekadar perhiasan semata, kerana isi itu lebih berharga dan akan kekal lama, itu sering kita tidak indahkan kerana faktor waktu dan ketika itu lebih berharga dari apa yang ada di dalam.

Aku salah seorang peminat kumpulan legenda yang aktif di Malaysia pada suatu ketika iaitu Kopratasa. Di dalam lagu-lagunya penuh dengan unsur-unsur patriotik. Kita boleh rasa dia melahirkan suara melalui lirik-liriknya yang jujur dengan penuh dengan nilai telus dan semangat. Mereka menyuarakan pendapatnya dalam gayanya yang tersendiri, berseluar jeans rugged dan baju lusuh. Pun lagu-lagunya masih didengar sehinggalah ke hari ini. Aku percaya pada nilai telus apa yang mahu disampaikan dari imej yang dibuat-buat. Bagi aku kita bukan lagi budak sekolah yang perlu beruniform dan nampak kemas untuk ke sekolah. Seni muzik sepatutnya bebas dari unsur-unsur plastik yang dicipta kerana jika kita ini hidup hanya sekadar untuk hidup tanpa meraikan bahkan memahami apa yang tersurat dan tersirat, lebih baik kita ini di programkan sahaja untuk menjadi begitu atau begini.

Membudayakan seni itu perlu telus dan bebas sifatnya. Kongkongan hanya akan melemahkan nilai kreativit dan mentaliti sesuatu bangsa. Hari ini bukan lah seperti kita tinggal di era 70an dan 80an lagi. Hari ini kemahuan masyarakat itu semakin tinggi dan penuh dengan nilai-nilai yang bijaksana. Maka kita perlulah seiring dengan level dan kehendak umat di zaman ini.

No comments: