Thursday 25 July 2013

INTERVIEW - DUM DUM TAK



 

 "....tapi yang utama bagi aku tetap ilmu dan cara hidup yang aku pelajari dari agama yang aku anuti iaitu Islam. Tapi sebenarnya banyak persamaan antara Islam dan punk rock. Kedua-duanya menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menolak penindasan...."
 
Assalamualaikum dan salam sejahtera! Kata mukadimmah untuk teman-teman yang sedang membaca zine ini, pertama sekali, apa itu Dum Dum Tak dan apa yang menarik tentang nama Dum Dum Tak ni?
- Waalaikumsalam. Aku Nizang, mewakili band Dum Dum Tak, band punk rock dari Kuala Lumpur menjawab soalan-soalan ini. Semua jawapan adalah buah fikiran peribadi aku, tidak mewakili semua individu dalam band ini. Nama ni digunakan kerana bunyinya agak pelik dan kelakar. Kami inginkan nama yang kelakar kerana kami pun bukannya manusia jenis serius sepanjang masa.

Apa projek terbaru DDT sekarang ni?
- Kami sedang rancak mempromosikan CD terbaru kami iaitu split dengan Always Last dan mungkin akan membikin video untuk sebuah lagu dari split tersebut, InsyaAllah. Dan juga, buku kami Aksi Reaksi sedang dalam proses untuk dikeluarkan edisi kedua yang dijangka siap pada bulan Disember 2012. Baju terbaru kami akan dikeluarkan oleh Bogus Merchandising. Tunggu!

Cerita serba sedikit tentang penubuhan band DDT, dan line-upnya sekali boleh?
- Semua anggota pernah bermain dalam band-band yang berlainan iaitu Skunkfix (Fael), Jellybelly & Inikah Hidup (Nizang), Clumsy Ruby (Rizie), Stick No Bill (Amert) dan Civil Disorder (Aiman). Pada tahun 2007, kami berkenalan dengan cara trade CD band masing-masing. Sebelum tu, aku dan Rizie memang tinggal di rumah yang sama di TTDI, KL. Kami kenal kerana sama-sama berasal dari scene punk rock Kuala Terengganu, kampung kami. Lepas main lagu sendiri dan rasa syok, kami teruskan band ni walaupun masa tu Fael dan Aiman masih aktif dengan band mereka. Line-up terkini adalah Fael –gitar dan vocal, Nizang –bass, Rizie –gitar, Spanky –dram. Kami juga dibantu oleh rakan-rakan seperti Nakid jika salah seorang line-up sibuk dengan hal lain.

Apa pandangan DDT tentang scene UG kita yang sedang naik sekarang?
- Boleh tahan bagus. Tapi mungkin perlukan originality dari segi muzik dan imej. Band-band yang ada bunyi tersendiri berbanding yang sedia ada. Kalau orang dengar saja tahu band ni datang dari Malaysia. Amacam, boleh ke?

Apa visi/misi DDT?
- Visi kami adalah untuk menjadi sebuah band yang akan diingati buat masa yang lama dengan lagu-lagu yang catchy dan berlirik bernas. Misi kami ialah menyebarkan dakyah-dakyah mengenai isu semasa kepada pendengar kami tak kira siapa pun, terutamanya mereka yang gemarkan muzik di bawah payung punk, hardcore, indie, metal dan lain-lain. Kami juga ingin bermain sebanyak boleh di serata tempat dan keluarkan sebanyak produk yang boleh tak kiralah CD, kaset, baju, video dan produk-produk lain.

Boleh DDT merialisaikan visi/misi ni sekiranya band ini mempunyai hayat yang panjang dalam masa 3-5 tahun akan datang?
- InsyaAllah. Kita hanya merancang. Tolak ansur dikalangan ahli sangat penting.

Aku dapat simpulkan band ni memainkan irama punk rock yang laju. Ok, bagaimana anda menggambarkan muzik band anda serta mesej-masej yang disampaikan kebanyakan mengenai apa?
- Ya, betul. Kami main punk rock laju dan agak hentam keromo sebab kami bukan pandai sangat main muzik. Fael dan Spanky boleh tahan pandailah. Pada album “Hentikan Penindasan” kebanyakan lagu kami laju, kami simpulkan ia sebagai “hardcore punk” tetapi pada dua lagu dalam kompilasi “Senandung Pawer-Kord” dan “Give & Take” lagu kami kedengaran lebih hardcore. Keluaran kami yang terkini iaitu split dengan Always Last, lagu kami agak kurang laju, ada berbunyi poppunk jepun, ada berbunyi streetpunk... Beli dan dengarkan sendiri. Tapi kami masih menggelarkan muzik kami secara amnya sebagai “hardcore punk”. Lirik-lirik kami adalah berkenaan sosio-politik semasa di sekeliling kita, tentang turun ke jalan, tentang kepincangan pentadbiran, masalah pilihanraya, menentang diskriminasi dan lain-lain isu semasa.

Dari segi rujukan, band mana yang selalu menjadi rujukan utama korang dalam menghasilkan setiap meterial dalam muzik DDT ni?
- Kami semua suka Greenday, Marjinal, The Gags, FSF, Nostalgia, Bad Religion dan Widji Thukul. Aku juga suka Carburetor Dung, Kuchalana, The Mindless Show, The Bollocks, Bunga Hitam, Minor Threat, Kalashnikov, Dead Kennedys, Operation Ivy, Bob Dylan, Cat Stevens dan lain-lain. Dua-tiga minggu ni aku asyik layan Butterfingers “Kembali”, Monoloque “Jejak Tanah”, Ramli Sarip, M. Nasir dan S. M Salim. Dah 17 tahun dengar punk rock dan muzik acuan barat saja sekarang baru hargai lagu-lagu melayu.

Apa definisi punk dan hc bagi anda, sejauh manakah revolusi serta idea-ideanya berjaya mempengaruhi kehidupan anda seorang rakyat Malaysia?
- Bagi aku, punk/hc itu adalah ilmu dan seni yang menuntut keadilan. Dah 15 tahun aku mendalami ilmu punk/hc dan banyak aspeknya aku gunapakai dalam kehidupan aku. Dari bangun tidur sampai aku tidur semula. Dua puluh empat jam. Tapi yang utama bagi aku tetap ilmu dan cara hidup yang aku pelajari dari agama yang aku anuti iaitu Islam. Tapi sebenarnya banyak persamaan antara Islam dan punk rock. Kedua-duanya menyuruh manusia melakukan kebaikan dan menolak penindasan. Kalau dulu semua benda aku nak buat aku pikir dari aspek etika punk rock, sekarang aku nak buat apa saja aku fikir hukumnya menurut ajaran Islam.

Pernahkah band anda ini disalah ertikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab @ disabotaj oleh sesetengah pihak?
- Pernah juga dulu pernyataan aku disalah ertikan. Ada organizer gig yang bertanya padaku kalau mereka hendak menjemput kami untuk bermain di gig mereka, berapa RM perlu dibayar pada kami. Aku hanya bergurau dan menjawap RM800. Dia mempercayainya dan beritahu kawan-kawannya. Jadi kecoh. Hehehe…sebenarnya kami tak kisah pun dibayar berapa RM untuk satu persembahan. Tapi kalau boleh, sekurang-kurangnya dapat menampung tambang pergi dan balik, jadilah. Tapi kami juga faham kalau hasil tidak memberansangkan, tak perlu bayar pun takpe kalau di tempat yang berdekatan.

Kenapa boleh jadi macam tu?
- Mungkin kerana sekarang makin banyak band DIY yang meletak harga minima jika hendak menjemput mereka. Berbanding dulu, band-band punk/hardcore tidak meletak harga tetap. Tapi kami faham, kalau band dah lama, banyak komitmen lain dan tanggungan. Mereka perlukan duit dan tidak mampu untuk mengeluarkan duit sendiri untuk berlatih, tambang, dan penginapan. Ada juga yang bermain muzik sepenuh masa jadi terpaksa meletak harga yang tetap jika hendak membuat persembahan.

Apakah yang anda faham tentang demokrasi ni?
- Entah, demo kerasi kot? Negara demokrasi bermaksud Negara yang diperintah oleh rakyat. Rakyat bebas untuk memilih kerajaan. Pilihan majoriti akan naik ke tampuk pemerintahan.

Adakah anda merasakan negara kita merupakan sebuah negara yang berdemokrasi dan adakah anda merasakan diri anda bebas untuk bersuara?
- Banyak penyelewengan berlaku seperti penggunaan pengundi hantu, penyelewengan undi pos, politik wang dan manipulasi media arus perdana oleh pihak yang menguasai tampok kerajaan sahaja. Malaysia juga masih ada akta yang zalim iaitu I.S.A yang membolehkan seseorang individu ditangkap tanpa perbicaraan di mahkamah. Jadi anda sendiri tahu apa jawapan aku…

Sekiranya anda di beri tugas sebagai pemerintah, apa yang anda akan lakukan untuk Negara anda?
- Mentadbir berpandukan Al-Quran dan As-sunnah…

Adakah band ini mempunyai ahli yang berperinsipkan Straight Edge?
- Rizie dan aku dulu adalah straight edge. Tapi aku dah drop edge dan betulkan niat. Hidup bebas dari rokok, dadah, arak dan seks kasual kerana tuntutan tuhan bukan kerana idea manusia lain. Ini kerana aku mahukan keuntungan di dunia dan selepas aku meninggalkan dunia ini juga.

Dulu gig campur boleh dikatakan mendapat sambutan, boleh duduk dan layan sekepala walaupun berlainan genre. Tapi sekarang ni memang susah nak tengok gig campur berada di bawah satu bumbung, apa pandangan anda mengenai perkara ni?
 - Lebih elok dan menyeronokkan kalau band yang beraksi datang dari pelbagai kelompok kawan, pelbagai jenis muzik, pelbagai fesyen, pelbagai latar belakang, pelbagai bangsa dan budaya. Baru syok. Kalau satu atau dua genre saja, mungkin dari kelompok dan negeri yang berbeza. Kelompok dari KL, dari Kedah, dari Pahang, dan lain-lain. Baru boleh berkenalan dengan kawan-kawan yang baru.

Pandangan anda tentang isu-isu gejala sosial yang semakin dikata negetif dikalangan remaja-remaja sekarang?
- Tidak patut untuk memperdagangkan manusia kerana manusia bukannya binatang ternakan, produk atau objek. Manusia punyai hati, perasaan dan akal. Remaja yang terlanjur membuang anak mereka kerana sikap masyarakat sekeliling juga sebenarnya. Kerana di Malaysia perkara sebegini dipandang sangat hina. Tapi kita perlu ubah mindset kita. Sesuatu kempen perlu dilakukan untuk mengubah keadaan ini. Ya, betul berzina itu dilarang dalam ajaran kebanyakan agama tetapi remaja-remaja yang terlanjur ini perlukan sokongan moral dan bukan penghinaan dan kecaman.

Ada ahli dalam DDT ni yang kaki merempit tak? Hahahaha…
- Dulu sebelum kahwin aku selalu merempit. Tapi lepas bernikah ni, dah jarang-jarang naik motor. Tapi selalu juga aku bawa anak kecil aku meronda kampong menaiki motor ayah mertua aku. Rizie dulu juga selalu merempit dengan skuternya tapi tidak lagi sekarang. Tapi kami bukan kaki rempit sebenarnya, sekadar menggunakan motor sebagai kenderaan harian untuk ke sana kemari.

Dari segi masej lirik yang korang sampaikan melalui persembahan pentas, adakah semua mesej yang korang tulis tu sampai kepada mereka yang mendengarnya, pernah tak korang buat autopsy kat dioraang?
- Biasanya kami akan memberi sedikit penjelelasan sebelum atau sesudah kami main lagu tersebut di show-show kami. Jika hadirin yang datang kami rasa ramai yang kurang tahu tentang kami atau tentang punk rock, kami akan terangkan dengan lebih panjang. Kami galakkan hadirin di gig untuk membeli CD kami kerana dalam setiap CD keluaran kami pasti kami sertakan lirik kami dan juga penerangan dalam bahasa inggeris. Aku tak pasti ia sampai kepada hadirin atau tidak. Tapi kalau mesej kami tak sampai pada crowd 100% pun, kalau 20% pun kami anggap kami dah berjaya.

Penerimaan tu bagaimana?
- Setakat ni Alhamdulillah, penerimaan terhadap band ni sangat memberansangkan. Pendengar kami tidak terhad pada golongan tertentu tapi agak menyeluruh dari pelajar sekolah, cikgu, aktivis, peminat muzik, ahli politik, pekerja professional dan lain-lain. Aku rasa ini disebabkan oleh lagu dan lirik kami yang agak catchy dan ringan. Tidak terlalu bising/art, berat dan ianya senang difaham dan mudah dihadam.

 "....itu terpulang. Tetapi artis-artis mestilah tahu tentang isu-isu semasa dan hal-hal sosio politik terutama di dalam Negara sendiri. Pada yang berani dan turut serta dalam acara-acara seperti ini, tabik hormat buat kalian...."

DDT di khabarkan pernah terlibat secara langsung dengan perhimpunan yang dianjurkan oleh BERSIH 0.2 dan 0.3 yang di adakan di ibu kota baru-baru ini, Persoalannya apakah faedahnya yang anda dapat melalui perhimpunan/demonstrasi tersebut?
- Sebenarnya kami tidak terlibat secara langsung dengan acara Bersih 0.2. Aku pun tak pasti samada ahli band ada turun di Bersih 0.2 atau tidak. Tapi kami menyokong Bersih 0.2 dimana ramai rakyat turun ke jalan raya di ibu kota untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih. Kami semua ada turun di acara Bersih 03. Kami juga pernah membuat persembahan di acara Konsert Bersih 0.2. Mungkin agak mengelirukan di situ antara Bersih 0.2  dan Konsert Bersih 0.2 iaitu dua acara yang berbeza. Perhimpunan-perhimpunan dan juga acara-acara lain yang dianjurkan oleh Bersih pada asasnya adalah bertujuan untuk menuntut keadilan dalam pilihanraya umum akan datang. Jadi, di acara-acara seperti ini peserta-peserta boleh menunjukkan kemarahan, tunjukkan bahawa masyarakat celik politik, tidak mahu ditipu lagi oleh parti pemerintah yang sangat selesa kerana memerintah selama 55 tahun. Kami berkongsi tenaga, berkongsi cerita, berkongsi kegembiraan dan sama-sama membantu menyampaikan mesej dengan apa cara jua yang boleh difikirkan. Agenda-agenda lain juga turut diketengahkan seperti anti-Lynas, Anti-ISA, isu harga barang naik dan lain-lain.

Bagi anda adakah artis mahupun band-band UG lain, patut terlibat secara langsung menyertai program seperti ini?
- Itu terpulang. Tetapi artis-artis mestilah tahu tentang isu-isu semasa dan hal-hal sosio politik terutama di dalam Negara sendiri. Pada yang berani dan turut serta dalam acara-acara seperti ini, tabik hormat buat kalian. Ini termasuklah band-band yang turut beraksi di Konsert Bersih dan artis-artis yang turun padang menyatakan sokongan pada acara seperti Perhimpunan Bersih, Anti-Lynas, Protes Harga Minyak, Mansuhkan ISA, dan lain-lain. Jika menyampaikan mesej melalui lagu pun sangat baik walaupun tidak turun di lapangan. Cara-cara lain juga boleh dilakukan seperti di facebook, twitter dan blog untuk menyatakan pendapat mereka tentang isu-isu semasa.

  
Apakah yang anda tidak puas hati dengan sistem pentabiran kita di Malaysia secara umumnya?
- Antara isu-isu yang pernah kami nyanyikan adalah seperti akta zalim ISA, harga petrol, ketidakseimbangan pentadbiran ekonomi, manipulasi media massa oleh kerajaan, manipulasi pilihanraya, isu pengundi hantu dan politik wang, korupsi yang dikhabarkan berleluasa dalam pentadbiran Negara, ketirisan dan salahguna wang rakyat, pencerobohan dan robohan rumah-rumah setinggan dan kampung-kampung seperti Kampung Berembang di Ampang, jurang ekonomi yang makin ketara, dan lain-lain…harap kerajaan prihatin dengan kehendak rakyat dan tidak pentingkan diri sendiri dan poket sendiri sahaja. Wallahua’lam.

Sebelum mengakhiri interview ni, ada pesanan anda dan Dum Dum Tak  kepada newcomers?
- Banyak belajar, baca buku dan cari rasional sesuatu tindakan kita. Jangan ikut sahaja secara buta tuli. Kalau nak buat apa-apa projek, jangan tiru orang putih seratus peratus. Ambil idea mereka tapi buatlah cara sendiri. Masukkan juga elemen dari budaya sendiri supaya ada identity tersendiri yang unik. Jangan jadi klon dan tiruan. CD kami yang terbaru iaitu split bersama Always Last sebanyak 12 lagu sudah berada di pasaran. Boleh dapatkan dari aku, sms aku di 0179639316 atau email nizangmosh@gmail.com. Harga RM12 kalau datang jumpa aku atau RM15 kalau aku pos kepada alamat korang. Terima Kasih pada Selipar Malaya zine, bagus nama zine ni, aku suka. Terima kasih pada pembaca. Hubungi kami untuk apa-apa atau sekadar untuk mengucapkan ‘Hi’. Assalamualaikum.
"....banyak penyelewengan berlaku seperti penggunaan pengundi hantu, penyelewengan undi pos, politik wang dan manipulasi media arus perdana oleh pihak yang menguasai tampok kerajaan sahaja. Malaysia juga masih ada akta yang zalim iaitu I.S.A yang membolehkan seseorang individu ditangkap tanpa perbicaraan di mahkamah...."

No comments: