"....kalau setiap kegemilangan itu sifatnya cuma sementara kenapakah kita perlu bunuh membunuh untuk mendapatkannya? Bukankah lebih baik kalau kita sama-sama duduk dan sama-sama mencari jalan untuk sama-sama mengecapinya. Tak bolehkah kita tiru anai-anai yang sentiasa bermuafakat dengan membina busut tapi tak pernah pula bermuafakat untuk merobohkannya?..."
Rupa-rupanya manusia sememangnya tidak terlalu cerdik dan
berakal. Kalaupun mereka selalu mengaku pandai, tapi nilai pengakuan itu sama
sahaja dengan pengakuan kambing yang mendakwa baru balik dari berenang. Boleh
didengar tapi tak boleh pakai. Aku berani berkata begitu atas keyakinan bahawa
kalau manusia pandai dunia tidak akan terus begini, berkemelut dengan sengketa
di sana sini.
Kerana bodoh jugalah manusia selalu menjadikan warna kulit , rumpun bangsa dan
kepercayaan agama sebagai sebab untuk melakukan perkara yang jahat.
Telah banyak kali aku memerhatikan kehidupan beberapa jenis
haiwan yang lazimnya dianggap lebih bodoh daripada manusia. Yang aku perhatikan
cuma kehidupan kancil sahaja. Bukan aku tak tahu kancil itu cendikiawan ternama
antara semua binatang di rimba, tapi masalahnya kalau aku perhatikan lama-lama,
air liur aku berkecar-kecar pula. Maklumlah aku pun makan daging juga.
Hasil pengamatan itu aku dapati kehidupan masyarakat
binatang jauh labih lebih harmoni daripada kehidupan manusia. Haram sekalipun
aku tak nampak biawak air dan biawak pasir berbunuh-bunuhan walaupun mereka
berlainan kulit yang ketara. Lotong dan kera, monyet dan ungka juga tidak
maki-hamun dan mencarut-carut sesama mereka, walaupun masing-masing memiliki warna
bulu yang berbeza.
Gajah dan harimau adalah rumpun bangsa haiwan yang tak sama.
Tapi pernahkah kita dengar gajah memakan harimau atau harimau memakan gajah,
semata-mata kerana cemburukan perbezaan itu?
Aku yakin dan pasti kalau semua manusia rajin merenung
unggas dan mergastua, mereka pasti akan menyedari betapa bangangnya mereka
dalam menangani masalah kehidupan sehari-hari. Lambat bangat mereka akan sedar
juga bahawa sentimen yang bertolak dari perbezaan kulit, ras dan agama tidak
akan membawa manusia kemana-mana.
Lagipun apa perlunya kita melayan sentimen itu . Apakah
sebenarnya yang kita mahu? Adakah kerana semata-mata kerana mahu menjadi besar
dan agung sebagaimana yang diimpikan
oleh orang Amerika, atau semata-mata untuk menggemparkan duni seperti mana yang
dilakukan oleh pengganas Serb yang begitu gah dengan penghapusan etniknya.
Kalau itu yang menjadi cita-cita, apakah faedah dan apakah
gunanya?
Dalam sejarah muncul segala macam rumpun bangsa yang
hebat-hebat. Kaum Aad, Tsamud dan Madyah adalah segelintir contoh yang
dahsyat-dahsyat. Tapi sekarang siapa yang kenal? Silap-silap Tsamud tu orang
akan sebut semut.
Sejarah telah menyaksikan kegemilangan kerajaan Mongol
dengan Kublai Khannya dan Dinasti Moghul yang harum dan masyhur di India. Begitu
jugalah dengan Portugis, Belanda dan Sepanyol yang terkenal dengan keupayaan
armada-armadanya menjajah bumi orang. Tapi sekarang nasib kesemuanya sampai
kemana? Kalau pun disebut orang hanyalah sisa-sisa kegemilangan itu tak dapat dipertahankan.
Kalau setiap kegemilangan itu sifatnya cuma sementara
kenapakah kita perlu bunuh membunuh untuk mendapatkannya? Bukankah lebih baik
kalau kita sama-sama duduk dan sama-sama mencari jalan untuk sama-sama
mengecapinya. Tak bolehkah kita tiru anai-anai yang sentiasa bermuafakat dengan
membina busut tapi tak pernah pula bermuafakat untuk merobohkannya?
No comments:
Post a Comment